Semakin hari semakin sayang. Begitulah sepatutnya ungkapan ini diluahkan oleh murid-murid yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi. Apakah yang dimaksudkan dengan ungkapan di atas?
Sayang di sini bermaksud sayangkan diri kita yang sudah lama menunggu untuk menduduki peperiksaan UPSR yang menjelang tiba. Jika anda sayangi diri anda maka anda juga harus sayangi perkara-perkara berikut:
• Sayangi masa: Masa amat begitu singkat sekali, hanya beberapa minggu sahaja lagi anda akan menemui masa yang dinanti-nantikan selama ini. Oleh itu setiap detik amat berharga dan tidak boleh dibiar berlalu begitu sahaja tanpa melakukan sesuatu yang berfaedah. Jika anda sayangkan masa maka janganlah disia-siakannya dengan menangguh-nangguhkan kerja, melewat-lewatkan waktu belajar, berbual kosong dengan rakan ketika dalam kelas atau berehat panjang hingga menjadi malas. Gunakan sepenuh masa untuk mengulang kaji pelajaran, bertanya guru atau berbincang dengan rakan. Satu atau dua minit yang anda gunakan itu mungkin dapat melonjakkan diri anda ke aras prestasi yang lebih tinggi.
• Sayangi kebolehan diri anda. Anda sebenarnya mempunyai kebolehan diri. Anda boleh mengikuti pelajaran dengan baik dan boleh mencapai kejayaan dengan cemerlang. Amat sayang sekali jika kebolehan yang ada pada diri anda itu dipersia-siakan di saat-saat akhir ini. Oleh itu sayangi dan hargai diri anda dengan kebolehan yang dianugerahkan oleh Allah. Gunakanlah kebolehan anda sepenuhnya tanpa merasa jemu atau bosan untuk terus belajar dan mencapai kejayaan.
• Sayangi pelajaran anda. Ayah dan emak telah banyak mengorbankan masa menghantar anda ke sekolah, ke kelas tuisyen atau membelanjakan wang untuk membeli buku tambahan. Enam tahun anda telah berdamping dengan pelajaran anda. Guru pula telah mengajar anda dengan sebaik mungkin serta menganjurkan pula kelas-kelas tambahan. Oleh itu janganlah disia-siakan pelajaran yang telah diajar kepada anda. Ilmu itu ibarat cahaya yang akan menerangi kehidupan anda di masa yang akan datang. Ilmu tidak akan pupus dan akan terus berkembang di dalam diri anda. Agama Islam menuntut kita untuk belajar serta beroleh ilmu kerana ilmu itu panduan hidup. Sayangilah ilmu yang anda telah belajar selama enam tahun ini. Oleh itu dalam masa yang singkat ini penuhilah dada anda dengan ilmu, dan teruskan menghayatinya sehingga menjelang hari peperiksaan.
Semoga sifat penyayang ini akan membakar semangat anda untuk terus belajar dan mencapai kejayaan yang bakal menanti anda nanti.
0 comments:
Post a Comment