Memandangkan dunia sedang berdepan dengan isu pemanasan global yang semakin serius masyarakat diharapkan dapat menjadi pengguna yang perihatin terhadap alam sekitar.

Persoalannya, sejauh manakah pencapaian kita sebagai pengguna yang lestari? Setakat ini, tidak ramai yang begitu menitikberatkan perkara seperti penjimatan elektrik, pembaziran tenaga, pencemaran alam sekitar dan sebagainya. Tahap kesedaran pengguna Malaysia masih rendah. Malah, mereka boleh dikatakan masih berada di peringkat awal dalam meletakkan diri sebagai pengguna lestari.

Amalan pengunaan lestari sebenarnya amat mudah untuk dipraktikkan oleh pengguna. Antaranya, mereka boleh berbelanja secara berhemat, menjimatkan pengunaan sumber air, tenaga dan bahan bakar, menggunakan bahan-bahan yang tidak mendatangkan kesan negatif kepada alam sekitar serta menggunakan teknologi bersih dan juga mesra alam.

Untuk menggalakkan amalan penggunaan lestari ini, masyarakat perlu belajar berbelanja mengikut keperluan mereka. Rancang dulu perbelanjaan anda. Sebaiknya, buat senarai barangan yang diperlukan dan belilah barangan hanya bila ia diperlukan.

Satu kemestian apabila membeli barangan ialah membaca lebel secara terperinci. Label mengandungi maklumat asas seperti kandungan pemakanan, tarikh luput, logo-logo berkaitan alam sekitar ataupun sama ada ia diperbuat daripada hasil bahan kitar semula.

Apabila membeli, lihat pada pembungkusan produk tidak kira bekas, botol atau kotak. Beli produk yang menyokong pembungkusan yang boleh diguna semula dan dikitar semula. Cara ini dapat mengurangkan terhasilnya sisa pepejal.
Ketika keluar membeli-belah juga amalkan membawa bersama beg sendiri dari rumah. Elakkan menggunakan beg plastik terutamanya yang memakan masa untuk dilupuskan.

Sebabnya, salah satu daripada sampah yang sering dibuang adalah pembungkus barangan harian yang dibeli termasuk beg plastik yang digunakan untuk membawa barangan tersebut.

Mungkin tidak semua barangan perlu dibeli. Contohnya, anda boleh menanam sendiri sayuran di kawasan rumah termasuk menggunakan teknik hidroponik yang tururt menjurus kepada amalan pengunaan lestari.
Malah, cara ini bukan sahaja dapat memastikan sayuran yang dimakan segar dan bebas bahan kimia racun perosak, tetapi boleh menjimatkan perbelanjaan keluarga.

Selain itu, pengguna juga boleh menjimatkan sumber bahan bakar dengan berusaha mengurangkan pengunaan kenderaan untuk ketempat-tempat yang berdekatan.
Bercerita tentang penjimatan ini, pengguna juga perlu mengambil kira pengunaan peralatan elektrik di rumah kerana ia juga merupakan antara penyumbang utama kepada pembaziran tenaga dan turut mempercepatkan pemanasan global.

Mulakan dengan membeli peralatan elektrik yang menjimatkan tenaga. Kini, banyak jenama telah mengambil langkah mengeluarkan produk penjimatan tenaga dalam usaha untuk mengurangkan pemanasan global.
Ataupun, pilih barangan yang bersesuaian seperti pengunaan lampu kalimantang yang empat kali lebih cerah daripada mentol  walaupun kedua-duanya menggunakan kuasa watt yang sama. Malah ia juga tahan lapan kali lebih lama berbanding mentol.

Sekiranya semua ini diamalkan, ia bukan sahaja dapat menyumbang ke arah persekitaran yang lebih sihat malah mampu mengekalkan kehijauan alam serta menjimatkan perbelanjaan.
Jadi, ubahlah sikap bermula hari ini. Jadilah penguna yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar bagi memastikan ia dapat terus diwarisi oleh generasi akan datang.     
Sumber : Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment

 
Top