SETIAP insan sememangnya mempunyai hati, tetapi ungkapan “ada hati” membawa maksud mempunyai kehendak, minat, bersemangat serta terpikat dengan seseorang insan yang lain atau dengan sesuatu keadaan.

Walau bagaimanapun untuk tujuan penulisan ini “ada hati” ditujukan kepada kehendak, minat dan bersemangat untuk mencapai kejayaan diri. Berbanding dengan seseorang yang tidak “ada hati” yang menunjukkan ciri-ciri diri yang tidak mampu meningkatkan prestasi serta tidak mampu mengimbangi emosi atau rohani dalam proses penentuan tindakan diri.

Sebagai seorang pelajar seharusnya sentiasa bersedia dengan sepenuh hati dan jiwa untuk menguasai ilmu dan kemahiran demi untuk mencapai kejayaan. Proses memperoleh ilmu ini harus digandingkan dengan sifat jati diri iaitu mampu menghadapi sebarang cabaran tanpa merasa kecewa atau bosan. Malah cabaran itu harus dianggapkan sebagai salah satu pengalaman yang perlu dilalui oleh setiap orang dalam mengejar kejayaan.

Kecekalan diri banyak bergantung kepada hati di mana ia bertindak sebagai pusat pengumpulan maklumat yang mampu mengeluarkan responds sama ada dalam bentuk positif atau negatif. Walaupun fikiran merupakan satu mekanisme penapisan maklumat tetapi hati mempunyai pengaruh yang besar dalam penentuan sesuatu tindakan.

Sebagai contoh walaupun seseorang pelajar sudah diberi nasihat serta rasional tentang sesuatu tindakan positif yang perlu dilakukan, tetapi jika ia tidak mempunyai hati untuk melakukan tindakan tersebut maka segala nasihat dan tunjukajar akan berakhir dengan kegagalan.

Dalam hal ini seseorang pelajar harus sentiasa membentuk hati dan jiwa yang murni untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing sepertimana yang diharap-harapkan oleh kedua ibu bapa, guru, agama, bangsa dan negara.

Kesungguhan dan ketekunan dalam proses menuntut ilmu, ketelusan dan keikhlasan dalam berkomuniksi serta keimanan dan ketaqwaan dalam pembentukan peribadi adalah faktor yang mampu memberi sinaran dan kesucian hati.

Semoga pelajar-pelajar akan mendapat hidayah dari Allah ke arah menyemarakkan hati ke arah mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.



Oleh DR. ISMAIL ZAIN

0 comments:

Post a Comment

 
Top