KUALA LUMPUR 17 Mac - Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan beberapa langkah untuk memperkukuhkan pembangunan sukan di sekolah antaranya menambah sekali ganda geran perkapita pelajar.
Peruntukan sedia ada geran perkapita sukan akan dinaikkan daripada RM2.40 kepada masing-masing RM4 dan RM6 untuk sekolah rendah dan menengah.
Geran padanan bagi setiap sumbangan ibu bapa pelajar juga akan diperkenalkan untuk menambah dana pembangunan sukan sekolah.

Mulai tahun depan juga, separuh daripada 10 peratus markah penglibatan kokurikulum pelajar akan diperuntukkan kepada aktiviti sukan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah-langkah tersebut diputuskan bertujuan mengembalikan kecemerlangan sukan di sekolah yang kurang mendapat perhatian.
Menurut beliau, dasar terbaru kerajaan 1Murid 1Sukan itu bukan bermatlamat mencari atlet cemerlang semata-mata hingga mengabaikan pencapaian akademik tetapi merupakan langkah serampang dua mata iaitu melahirkan pelajar cemerlang dalam kedua-dua bidang.

"Ia untuk menggalakkan pembangunan sukan di sekolah dan bukan sekadar memberi tumpuan melahirkan atlet cemerlang mewakili negara.
"Tetapi dalam kita majukan sukan sekolah sudah pasti bakat dan potensi pelajar dalam sukan boleh dikenal pasti untuk diketengahkan melalui Majlis Sukan Sekolah-Sekolah, bagaimanapun ia bukan sasaran dan matlamat utama kita," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pembangunan Sukan sekolah di bangunan Parlimen hari ini.

Keputusan lain yang diputuskan oleh jawatankuasa itu ialah:
l Kokurikulum sukan sepenuhnya akan bermula pada 2011 dengan beberapa struktur kementerian akan diubah seperti Bahagian Sukan, Seni dan Kurikulum akan dipisahkan menjadi dua entiti berbeza.
l Penambahan tenaga khas iaitu guru pelaksana program pembangunan sukan di sekolah.
l Menyusun semula jadual kurikulum sekolah bagi kesenangan para pelajar dan penjaga.
l Jumlah minimum aktiviti sukan sebanyak 60 minit seminggu untuk sekolah rendah dan 90 minit untuk sekolah menengah, bergantung kepada pihak sekolah.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberi jaminan perubahan dan penambahan itu tidak akan menjejaskan waktu pembelajaran kurikulum, sekali gus menghilangkan kebimbangan ibu bapa yang khuatir ia akan menjejaskan kecemerlangan akademik anak-anak mereka.
"Dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini sudah terbukti terdapat pelajar yang mampu cemerlang dalam kedua-dua bidang, akademik dan kokurikulum," katanya.
Selain itu, beliau berkata, bermula pada tahun ini segala kemudahan infrastruktur sukan yang daif di sekolah-sekolah akan dipertingkat dan dibaik pulih.

Tambah Muhyiddin, pihaknya juga telah meminta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan supaya membantu menyediakan kemudahan sukan seperti padang permainan dan dewan kepada sekolah yang memerlukan.
"Kalau boleh kita minta mereka tidak kenakan sebarang bayaran atau hanya kadar rendah bagi membantu meringankan beban pihak sekolah dan pelajar untuk membayarnya," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
Top