KUALA LUMPUR – Kabinet telah memutuskan supaya masa pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dipanjangkan mulai sesi persekolahan 2011, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu, yang dibuat pada mesyuarat Kabinet semalam, adalah selaras dengan usaha untuk memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) di kalangan pelajar sekolah berikutan pemansuhan pengajian dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris tahun sudah.

Bagaimanapun beliau berkata, masa persekolahan tidak akan dipanjangkan, tetapi akan diolah menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan untuk pelajar.
"Kita akan buat pengubahsuaian dari segi kokurikulum selaras dengan perubahan-perubahan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-29 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Masa pembelajaran untuk Bahasa Malaysia (BM) di sekolah rendah dan menengah kebangsaan bagaimanapun akan kekal pada 240 minit seminggu, tetapi bagi pembelajaran Bahasa Inggeris (BI) akan ditambah kepada 330 minit seminggu daripada 240 minit yang dipraktikkan sekarang.
Di sekolah rendah jenis kebangsaan (Tamil dan Cina), sesi pembelajaran untuk BM akan ditambah dari 270 minit kepada 330 minit seminggu. 

Bagi BI, ia akan ditambah menjadi 120 minit seminggu daripada hanya 60 minit. – Bernama

0 comments:

Post a Comment

 
Top